Warisan Intai Beberapa Kerusi Di PRN Johor

shafie-apdal-1.jpg
Kongsi Bersama

Parti Warisan yang berpangkalan di Sabah berharap Johor bakal menjadi medan untuk menguji potensi parti itu dalam pilihan raya di Semenanjung, menurut beberapa individu dalam parti berkenaan, lapor Malaysiakini.

Laporan itu menyebut bahawa sehubungan itu, individu-individu berkenaan berkata Warisan berhasrat untuk bertanding beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, difahamkan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, menamatkan siri jelajahnya di negeri berkenaan esok.

“Shafie berada di Johor dari Isnin hingga Rabu untuk menghadiri beberapa program dan walkabout.

“Ini juga akan menjadi satu cara untuk dia melihat isu-isu tempatan dan mengukur mood di bawah.

“Semua ini mungkin membantu presiden membuat keputusan sama ada Warisan akan bertanding atau tidak,” kata seorang pemimpin parti itu kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Bagaimanapun Warisan hanya akan mempertimbangkan kira-kira tiga kerusi atau kurang daripada jumlah itu untuk ditandingi.

Menurut sumber dalaman, salah satu kebimbangan yang dihadapi mereka adalah untuk mengelak pertembungan dengan parti pembangkang lain, terutama yang dianggap mesra Warisan.

Pun begitu, sumber itu menyatakan bahawa jika Warisan memutuskan untuk bertanding di Johor, adalah mustahil untuk mengelak sepenuhnya pertembungan tersebut.

Pakatan Harapan (PH) telah mengagihkan kesemua 56 kerusi DUN Johor sesama mereka, justeru penglibatan mana-mana parti pembangkang lain memerlukan rundingan berasingan antara parti komponen PH dan parti pembangkang bukan dari PH.

Sebagai contoh rundingan bersama Muda yang telah berlarutan khususnya dengan PKR.

Selain Muda, tiada parti pembangkang lain yang mengadakan rundingan dengan komponen PH.

“Untuk sekarang, perlu ada perbincangan, supaya pertembungan itu kurang impak,” kata individu dalam Warisan, merujuk kepada kemungkinan perbincangan dengan parti lain.

Malaysiakini difahamkan Warisan juga sedang mengintai beberapa ahli politik Johor yang mungkin bakal dicalonkan untuk mewakili parti itu.

Lawatan selama tiga hari Mohd Shafie ke Johor juga dikatakan untuk menilai beberapa calon yang mungkin termasuk bekas dan penyandang kerusi DUN.

Dinyatakan bahawa bekas Adun Kukup dari Umno, Suhaimi Salleh, yang baru menyertai Warisan, berada dalam senarai mereka yang dipertimbangkan untuk bertanding di bawah tiket Warisan.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac berikutan pembubaran dewan undangan negeri Johor bulan lepas.

Setakat ini, parti pembangkang yang mengesahkan meletakkan calon dalam pilihan raya ialah PH, Muda dan Pejuang.

Pejuang telah menolak untuk menyertai rundingan dengan parti pembangkang lain dan akan bertanding 42 daripada 56 kerusi di Johor.

Parti Bangsa Malaysia juga merancang untuk bertanding tetapi telah mengisytiharkan parti itu sebagai pro-BN.

Minggu lalu, Naib Presiden Warisan, Junz Wong dilaporkan berkata Mohd Shafie akan membuat keputusan sama ada akan bertanding di Johor “dalam beberapa hari” lagi.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top