Warisan Harta Dijenamakan Semula Sebagai Qhazanah Sabah

SSK-qhazanah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Warisan Harta Sabah Sdn Bhd yang menjadi cabang pelaburan strategik kerajaan negeri kini dijenamakan semula sebagai Qhazanah Sabah sebagai tanda sokongan kepada Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penjenamaan semula itu menunjukkan komitmen kuat Qhazanah Sabah untuk mencapai objektifnya mengubah Sabah menjadi negeri yang progresif dan membangun di Malaysia.

Sehubungan itu katanya, menjadi harapan kerajaan negeri agar Qhazanah Sabah terus unggul dan menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penjenamaan semula syarikat itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ditubuhkan pada 6 April 1995 adalah hasil buah fikiran Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah sekarang.

Objektif utamanya adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah dan mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membayar dividen lebih daripada RM200 juta kepada kerajaan negeri sejak ia ditubuhkan.

Sementara itu, syarikat berkenaan turut aktif memperuntukkan dana bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan.

Qhazanah Sabah menjana pendapatan dari anak syarikatnya dengan usahasama perniagaan bermula dari tadbir urus dan perkhidmatan pelabuhan, kewangan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor, dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pengangkutan, pengurusan tenaga diperbaharui, pembangunan hartanah serta perkhidmatan kesihatan, dan perubatan.

Perniagaan terbarunya ialah penjenamaan semula salah satu anak syarikat milik penuhnya Kojasa Holdings Berhad yang akan melancarkan kedai runcit platform digital yang dikenali sebagai KOJASA Mart hasil kerjasama dengan Epost Express (Sabah).

Qhazanah Sabah juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Go Auto Holdings Sdn Bhd dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor pengangkutan serta pembuatan automotif.

Ini membuktikan kemampuannya untuk mencipta dan menyesuaikan syarikat itu dalam masa yang mencabar ini untuk mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan sejajar dengan matlamatnya untuk mempelbagaikan Belanjawan negeri.

Pada majlis itu, Salleh turut menyampaikan logo Qhazanah Sabah yang melambangkan kekuatan dan pulangan kukuh diterjemahkan melalui tulisan blok bulat menjulur ke luar untuk membentuk huruf ‘Q’ kepada Hajiji.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah Mohd Shukor Abdul Mumin dan Pengarah Qhazanah Sabah Datuk Dr. Johnson Tee.- Utusan Borneo

 

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top