KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) berharap parti-parti sekutunya menerima cadangan menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya negeri akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau telah mengemukakan perkara itu kepada parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Kami belum membuat keputusan (mengenai penggunaan logo Warisan). Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.
“Di Semenanjung, mereka pernah menggunakan logo PKR. Tun Mahathir dan Lim Guan Eng bertanding di bawah lambang PKR. Kalau mereka boleh melakukannya di Semenanjung, kenapa di Sabah tidak?.
“Ini hanya cadangan. Jika mungkin semua parti boleh menerimanya kecuali UPKO sebab ia parti tempatan,”katanya memberitahu pemberita selepas pelancaran jentera Warisan di Putatan, di sini, hari ini.
Turut hadir naib presiden Warisan Datuk Junz Wong, setiausaha agung Warisan Datuk Loretto S. Padu dan ketua bahagian Warisan Putatan. Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari.