KOTA KINABALU: Parti Warisan hanya bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang bebas daripada isu integriti, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Sinar Harian dalam laporannya memetic Ketua Biro Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman sebagai berkata, kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tentang kerjasama politik telah disalah tafsir.
Menurutnya, kerjasama ini bertujuan memperkukuhkan parti tempatan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, mengambil inspirasi daripada Sarawak yang memberi keutamaan kepada pemimpin tempatan.
“Apa yang diutarakan oleh Presiden Warisan adalah pelawaan kerjasama kepada parti-parti tempatan seperti PBS, STAR dan mana-mana parti tempatan yang tidak mempunyai isu integriti di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai keberanian dan ketegasan tanpa perlu merujuk kepada pemimpin di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azis juga menyatakan rasa curiga terhadap keikhlasan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berdasarkan pengalaman lalu.
“Sebagai contoh, semasa kemelut GRS-UMNO, Presiden Warisan telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarat Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menubuhkan parti tempatan.
“Namun, selepas Gagasan Rakyat ditubuhkan, Hajiji dan partinya itu memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan untuk melompat parti lebih-lebih lagi setelah Parlimen meluluskan Akta Lompat Parti dan Hajiji sengaja melambat-lambatkan Akta Lompat Parti di kuatkuasakan di Sabah kerana usaha Gagasan Rakyat yang terus menarik wakil-wakil rakyat Warisan untuk menyertai Gagasan Rakyat ketika itu.
“Ini antara juga punca timbul isu kepercayaan terhadap keikhlasan Hajiji dan partinya terhadap Warisan. Tindakan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kepercayaan dan integriti politik,” jelasnya.
Selain itu, Mohd Azis mengkritik kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan parti nasional seperti Pakatan Harapan (PH), yang dianggap mengaburkan perjuangan hak Sabah. Warisan menegaskan bahawa perjuangan parti tempatan harus berfokus kepada integriti, tatakelola yang baik, serta penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Warisan menolak sebarang bentuk gabungan dengan parti yang terpalit isu integriti dan menegaskan bahawa kerjasama hanya akan dilakukan dengan pihak yang menunjukkan keikhlasan dan komitmen terhadap prinsip pentadbiran yang telus. Parti itu komited memastikan perjuangan untuk hak Sabah berlandaskan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.