KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Warisan (Warisan), Datuk Loretto Padua Jr. meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan Persekutuan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kehilangan dana AS$ 1 bilion (RM4.18 bilion) daripada tabung Yayasan Sabah lebih tiga dekad dahulu.
“Al-Jazeera dalam laporan khasnya mengenai Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) Sabah yang kontroversi pada 2 Februari lalu telah memberi perhatian ke atas isu berkenaan yang mendakwa ia berlaku antara 1986 hingga 1993,” katanya.
Loretto berkata siasatan itu perlu dilakukan memandangkan rangkaian berita antarabangsa itu telah menyebut sebuah firma audit antarabangsa yang mempunyai reputasi yang baik, Pricewaterhouse telah membuat penemuan itu pada 1994. Sehubungan itu rakyat Sabah berhak untuk mengetahui apa sebenarnya yang telah berlaku kepada wang itu.
“Adakah dana AS$ 1 bilion itu telah digunakan oleh kerajaan negeri untuk membiayai projek atau pelaburan yang tidak menguntungkan? Jika benar, mengapakah Al-Jazeera secara khusus menyebut bahawa dana itu telah hilang? Dan jika artikel itu berdasarkan kepada maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai, mengapakah Al-Jazeera begitu berani dan lantang sehingga mengaitkan perkara itu dengan sebuah firma audit antarabangsa yang mempunyai reputasi?” katanya.
“Persoalan inilah yang kini dibangkitkan oleh rakyat Sabah khususnya generasi muda yang tidak pernah mendengar mengenai isu berkenaan. Meskipun ada di antara kita yang mungkin pernah mendengar tentang perkara terbabit, amat sedikit maklumat yang diperoleh berhubung kehilangan dana berkenaan kerana perkara itu bukan seperti isu pendatang tanpa izin di Sabah, dana yang hilang ini hampir tidak disebut langsung atau tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh media,” katanya dalam satu kenyataan media malam semalam.
“Jika Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengabaikan isu ini atau merahsiakannya, jadi apakah contoh yang akan diberikan kepada pemimpin di masa akan datang dalam perkara yang melibatkan integriti dan tanggungjawab dalam pengurusan dana awam? Jika pemimpin terdahulu dan sekarang tidak boleh dipercayai, maka sifat sama yang tidak amanah ini akan berlanjutan di kalangan pemimpin masa hadapan.”
Menurut Loretto, perkara ini mesti diselesaikan sepenuhnya secara tuntas sebelum lebih banyak hasil negeri hilang akibat pemimpin yang korup dan tidak boleh dipercayai seperti mana yang berlaku kepada dana yang hilang dari tabung Yayasan Sabah itu.
Lebih-lebih lagi apabila rakyat Sabah kini berjuang dengan gigih untuk mendapatkan tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain tuntutan hasil lebih tinggi minyak dan gas Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ramai di kalangan ahli politik Sabah yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kabinet Negeri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, GLC pada waktu itu masih ada dan ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed yang penglibatannya dikaitkan dalam artikel itu. Mereka boleh dipanggil untuk memberikan keterangan penuh isu ini dalam RCI.
Loretto berkata Warisan mungkin perlu mendapatkan bantuan pemimpin parti di Semenanjung Malaysia serta sekutu politiknya bagi mendesak penubuhan RCI untuk menyiasat kehilangan dana dari tabung Yayasan Sabah, memandangkan isu ini lebih serius berbanding tuntutan RCI berhubung skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
“Jika negara dan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) mahukan RCI untuk menyiasat skandal BMF berdasarkan pinjaman AS$ 292 bilion yang dibuat dalam empat peringkat antara 1979 dan 1980, maka bukankah RCI untuk menyiasat kehilangan dana Yayasan Sabah sebanyak AS$ 1 bilion, mempunyai kepentingan yang sama?” Tanya beliau.
Loretto selanjutnya berharap Warisan akan mendapat sokongan daripada sekutu politiknya di Semenanjung khususnya para Ahli Parlimen untuk memastikan penubuhan RCI mengenai kehilangan dana Yayasan Sabah itu menjadi kenyataan.