Warisan Fokus Perkuatkan Parti Sebelum Pertimbang Kerjasama Dengan PH – Shafie

shafie.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) memberi fokus kepada usaha mengukuhkan kedudukan parti terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan mahu memperkuatkan parti terlebih dahulu sebelum mengambil kira langkah bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Kita fokus perkuatkan dahulu rumah kita agar dapat memberi pilihan kepada semua rakyat Malaysia sebelum mengambil kira usaha bekerjasama dengan mana-mana pihak. Kita lihat rumah kita dahulu baru tengok rumah orang lain.

“Kita belum memutuskan tindakan pada masa hadapan tapi, kita mahu memberi pilihan kepada rakyat Malaysia. Sebelum ini saya sudah bergabung dan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas keluar daripada UMNO, saya bergabung semula dengan Mahathir dalam PH bersama dengan Anwar, Lim Guan Eng dan Lim Kit Sing jadi, saya sudah mengalami semua gabungan,” katanya selepas Program Walkabout Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Inanam pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua parti pembangkang bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Anwar berkata, kerjasama semua parti pembangkang termasuk Warisan pada PRN Johor dilihat satu strategi yang mampu mengalahkan Barisan Nasional (BN)/UMNO yang begitu yakin mampu menang dengan majoriti besar.

Mohd Shafie berkata, beliau sudah menghadiri 17 pilihan raya di Semenanjung semasa berada dalam BN termasuk di Johor, Pulau Pinang dan Kelantan. Maka, beliau faham bagaimana situasi di situ.

“Jadi, apabila orang mengatakan Warisan tidak tahu apa berlaku di Semenanjung, keadaan di situ bukan asing bagi kita.

“Saya tahu macam mana kaedah dan pusat daerah mengundi (PDM), biarpun bukan mudah tapi, kita kena buat kerana kita ada struktur dan kawan di sana. Saya sudah meminta kawan-kawan bergerak di Johor dan bulan depan saya akan ke sana untuk membuat pengumuman di situ,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Warisan sudah meminta jentera di Johor untuk meneliti secara mendalam sebelum membuat sebarang pengumuman tentang keadaan di sana kerana banyak sangat pilihan raya iaitu di Melaka, Sarawak dan lepas ini di Johor.

Untuk itu, beliau akan berbincang bersama Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang keadaan di Johor.

Jelasnya, beliau akan meneliti kawasan yang berpotensi dan kemudian berbincang bersama Muda tentang hala tuju di Johor kerana Muda dipimpin oleh Syed Saddiq iaitu pemimpin yang datang dari Johor.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top