WARISAN Bercadang Lebarkan Sayap Ke Semenanjung

loretto-padua.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menimbang untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung dan yakin mesej “Perpaduan” yang dibawanya akan memperoleh sokongan besar di situ.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua Jr, berkata ahli tidak perlu bimbang berhubung cadangan itu kerana tema parti yang berpangkalan di Sabah itu akan mendapat sambutan di Semenanjung.

“Kita yakin dengan apa yang kita cakap dan pegang selama ini, iaitu perpaduan, biar Sabah menunjukkan jalan,” katanya semasa perhimpunan agung tahunan Warisan di sini, hari ini.

Padua berucap merasmikan persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Wirawati parti itu bagi pihak timbalan presiden Datuk Darell Leiking.

Sayap parti akan membahaskan cadangan peluasan itu sebelum mengemukakan cadangan pada perhimpunan agung petang ini, yang akan dihadiri presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Warisan Datuk Azis Jamman berkata “sesuatu perkara yang besar bakal berlaku dalam masa terdekat”.

Beliau berkata, jarang didengar sebuah parti Sabah melebarkan sayapnya ke Semenanjung, selain menambah bahawa pilihan raya negeri sebelum ini bukan sahaja menarik perhatian pemimpin dari Semenanjung, tetapi masyarakat umum.

“Harap perkara ini akan dapat dibawa ke peringkat pusat,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.

Beliau menyedari terdapat ahli yang mempersoalkan sama ada cadangan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung idea yang baik.

“Orang cakap ‘kalau kita tidak cuba, kita tidak tahu’.

“Bila saya jalan di Kuala Lumpur, ada (orang) yang saya tak kenal datang jumpa dengan saya dan kata: ‘Terima kasih kerana berdiri teguh atas prinsip.’ Kerana berdiri atas prinsip, kita masih berada di sini walaupun ditawarkan segala tawaran untuk menyebelahi mereka.

“Malah ada yang tanya adakah Warisan akan (luaskan sayap) ke Semenanjung. Untuk makluman, ada Ahli Parlimen dari Semenanjung berminat untuk bersama-sama dengan kita,” kata Azis.

Penganalisis politik sebelum ini berkata, tema “Perpaduan” tidak membantu Warisan memenangi pilihan raya negeri pada 26 Sept kerana perpaduan bukan isu di Sabah, tetapi ia mungkin berbeza di Semenanjung. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top