KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah membentuk jawatankuasa negeri bagi orang Cina Sabah yang dipengerusikan oleh naib presiden parti Datuk Junz Wong untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat Cina dan menangani isu yang dihadapi oleh mereka.
Beliau berkata penglibatan Warisan dengan masyarakat Cina sebelum ini kurang kerana parti itu berada dalam gabungan, merujuk kepada Pakatan Harapan (PH).
“Ia agak sensitif pada masa itu. Tetapi kini kepimpinan parti telah mengeluarkan arahan untuk bergerak ke setiap arah dan kawasan untuk memastikan kita menjaga setiap komuniti di Sabah.”
Junz berkata masyarakat Cina telah menerima Warisan dan menjadikan parti itu tempat mengadu walaupun ia tidak mewakili kawasan berkenaan.
“Ketika itulah kami sedar yang kami perlu meluaskan liputan kami untuk berkhidmat kepada semua orang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pertama jawatankuasa itu di sini pada Rabu.

Junz (lima dari kanan) semasa sidang media mengenai pembentukan jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu antara lain terdiri daripada Datuk Raymond Tan sebagai penasihat, George Hiew sebagai timbalan pengerusi, Nicholas Chak sebagai naib pengerusi, Ben Chong sebagai setiausaha agung, Datuk Chin sebagai ketua publisiti, Calvin Chong sebagai ketua unit aduan awam, Justin Wong sebagai ketua pemacu keahlian dan Michelle Mok sebagai penasihat undang-undang.
Junz berkata seorang penyelaras akan dilantik di setiap kawasan parlimen dan DUN untuk menyelia program dan gerak kerja di kawasan tersebut.
Pelbagai program seperti bengkel dan seminar akan dianjurkan oleh jawatankuasa itu, tambahnya.
“Jawatankuasa itu meliputi seluruh Sabah termasuk Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Batu Sapi, Semporna, Sandakan, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Bongawan, Kudat, Sepanggar, Papar, Kepayan, Inana, Likas, Api-Api, Luyang, Tenom dan Keningau.”
Ditanya sama ada Warisan akan bekerjasama dengan PH pada pilihan raya umum akan datang, Junz berkata perkara itu akan diputuskan oleh presiden parti Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.
Junz berkata kira-kira 60 pemimpin dari seluruh Sabah menghadiri mesyuarat pertama pada Rabu bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi rakyat dan masyarakat Cina.
Antara isu utama yang dibincangkan ialah aduan orang ramai, pendidikan dan kos sara hidup yang tinggi.
Beliau menambah bahawa jawatankuasa itu akan merekrutkan lebih ramai ahli di seluruh negeri.