TAWAU: Parti Warisan (WARISAN) akan terus memperjuangkan nasib rakyat Sabah yang dilihat tidak mencapai sebarang perubahan.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah penting kepada rakyat Sabah.
“Ia penting bukan hanya kepada keadaan politik di Sabah tetapi juga kepada kehidupan rakyat yang jauh ketinggalan dari segi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan pendidikan.
“Kita akan pastikan supaya bukan berlandaskan kaum, agama tetapi berjuang menuntut bukan sahaja hak kita tetapi membela rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN, di sini semalam.
Beliau berkata, penyertaan yang ramai dari kalangan golongan muda berbilang kaum ke dalam WARISAN adalah petanda baik agar perubahan landskap politik Sabah berubah.
Shafie berkata, keutamaan pihaknya adalah memperjuangkan nasib rakyat agar keluar daripada kemiskinan, pengangguran serta ketidakupayaan menikmati kemudahan asas yang sedia ada.
Ketika dalam ucapannya, beliau berkata, rakyat Sabah juga berhadapan dengan masalah kemudahan bekalan air bersih dan juga elektrik.
“Di Tawau sahaja, air pun tidak cukup, Sandakan pula airnya masin. Di kampung tiada elektrik, jangan cakap kampung, di Kota Kinabalu pun berhadapan dengan masalah elektrik.
“Bekalan elektrik putus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Hospital Queen Elizabeth juga mengalami perkara yang sama.
“Rakyat perlu tanya diri sendiri dan sedar, adakah keadaan Sabah hari ini jauh lebih baik, khususnya dari segi kemudahan asas yang disediakan kepada anda,” katanya. – Utusan Borneo