SEMPORNA: Walau tidak berhasrat bertanding di semua negeri namun, Parti Warisan (Warisan) tetap yakin mampu meraih sokongan pengundi di Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan pengalaman di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Warisan boleh melihat sokongan rakyat terhadap parti itu memang ada cuma masa yang diperuntukkan semasa PRN tersebut agak singkat.
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Warisan akan bertanding di kawasan yang berpotensi untuk meraih kemenangan.
“Bukan semua negeri kita mahu tanding. Dimana kawasan kita mampu mendapat kemenangan, kita akan tanding sama ada di Kedah, Perak, Pulau Pinang atau tempat-tempat lain.
“Kita akan kaji secara mendalam. Di Johor masanya singkat cuma tiga minggu namun, dalam masa singkat sebegitu, Warisan masih mampu meraih ribuan undi, masih ada undi untuk kita.
“Kalau dilihat Pas sudah bertanding di Sabah 30 tahun tapi, sampai sekarang tidak pernah menang pun manakala, kita di Johor cuma tiga minggu tapi masih mendapat sokongan,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran penempatan sementara Kampung Bangau-Bangau semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerusi yang akan ditandingi Warisan di Semenanjung Malaysia menjelang PRU15.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau akan memantau dan menyelidik secara terperinci mengenai kawasan yang ingin ditandingi.
Jelas beliau, tiada erti bertanding sekiranya mereka tidak menang kerana bertanding tidak boleh mengikut emosi.
Warisan bertanding kerana mahu mempunyai wakil rakyat yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara ini, bukannya berkhidmat kepada diri sendiri. – Borneo Today