Warga Sabah Bebas COVID-19 Tak Puas Hati Dilabel ‘Asimtomatik’

kota-kinabalu-airport-040-1.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Individu ke Semenanjung dari Sabah kebingungan apabila dikategorikan sebagai kes asimtomatik oleh Kementerian Kesihatan, walaupun diuji negatif COVID-19.

Mereka mengatakan telah diuji tiga hari sebelum penerbangan dan dibuktikan bebas COVID-19, tetapi dianggap asimtomatik di lapangan terbang.

Seorang daripadanya, A Vincent, beritahu FMT, beliau terbang dari Kota Kinabalu bersama isteri pada Ahad selepas saringan mengesahkan mereka negatif.

Bagaimanapun, katanya, doktor yang bertugas di pusat kesihatan klia2 mengkategorikan mereka sebagai pesakit tanpa gejala, tanpa melakukan sebarang pemeriksaan.

Status asimtomatik Vincent seterusnya diambil aplikasi MySejahtera, yang melabelnya sebagai Orang Bawah Pengawasan (PUS) dan menghalangnya mendaftar masuk di lokasi tertentu

“Tidak adil bagi saya kerana selagi saya digambarkan sebagai asimtomatik, itu bermakna saya boleh membawa virus yang tidak dapat dikesan,” katanya.

“Bagaimana doktor simpulkan saya asimtomatik? Adakah semua pengembara dari Sabah dikelaskan dalam kategori secara automatik?”

Beliau tertanya adakah individu yang melakukan perjalanan dari Selangor dan Kuala Lumpur, yang kini zon merah, mengalami pengalaman sama ketika melintasi sempadan negeri.

Seorang lagi penduduk Sabah yang enggan dinamakan tidak sedar statusnya sebagai kes asimtomatik sehingga cuba mendaftar masuk di sebuah kedai perabot.

“Pengawal keselamatan tengok saya berstatus PUS dan melarang saya masuk,” katanya.

“Saya tunjukkan kepadanya keputusan ujian COVID-19 saya, tapi terkejut apabila tercatat perkataan ‘asimtomatik’.”

Susulan itu, beliau menghubungi talian hotline COVID-19 Kementerian Kesihatan bagi menjelaskan masalah ini, namun tidak berhasil.

Statusnya kembali “berisiko rendah” selepas menghantar e-mel ke MySejahtera.

Dia menambah rakannya yang datang dari Sabah bulan lalu juga menghadapi masalah yang sama.

“Mengapa kami perlu bayar untuk ujian tapi dikategorikan asimptomatik? Adakah mereka faham apa maksud asimtomatik?

“Mengapa menteri yang dikenakan perintah kuarantin di rumah boleh saja meninggalkan kediaman dengan memakai pelindung diri (PPE) untuk menghadiri Parlimen, tetapi kami rakyat biasa salah didiagnosis dan diminta pulang?”

Beliau turut tertanya mengapa mereka yang menaiki penerbangan dua jam dari Sabah diwajibkan untuk mengambil ujian saringan, sedangkan individu yang melakukan perjalanan dalam negeri menaiki bas dengan ruang yang terhad selama enam jam tidak disaring.

“Sekarang, apabila saya kembali ke Sabah, saya perlu membayar RM180 sekali lagi untuk ujian yang lain,” katanya. “Ini membebankan saya.” – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top