LABUAN: Jabatan Penerangan Labuan menganjurkan Pertandingan Anugerah Semarak Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat wilayah itu.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada pemenang.
Pengarahnya, Azman Sipan berkata, penyertaan dibuka kepada agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang-perseorangan di Labuan dengan menghiasi Jalur Gemilang di premis, bangunan atau kediaman masing-masing.
Setiap peserta perlu menghantar gambar pertandingan melalui media sosial jabatan berkenaan untuk sesi penilaian.
Pengumuman dan penyampaian hadiah akan diadakan dalam satu majlis aprisiasi pada hujung bulan ini.
“Jabatan Penerangan sebagai penganjur utama, kita akan turun ke lokasi-lokasi untuk memastikan gambar yang dihantar itu benar seperti yang kita lihat bagi menentukan pemenang,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Semarak Gemilang 2023 di Balairaya Kampung Pantai di sini.
Progam tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Ia merupakan siri jelajah terakhir yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan dan salah satu pengisian program sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Kempen Jalur Gemilang peringkat Labuan.
Sumber: RTM