Warga KDMR Labuan Diseru Jadikan Budaya Dan Adat Resam Pemangkin Kemajuan Kendiri

joachim-1.jpg

Dr Joachim (tengah) dan Rozman (lima dari kiri) bergambar kenangan dengan Jawatankuasa Induk KDCA Labuan dan AJK Penganjur sambutan Pesta Kaamatan W.P Labuan

Kongsi Bersama

LABUAN: Semua warga kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), khasnya anak-anak muda, di pulau ini diseru untuk terus menjadikan pegangan adat resam dan kebudayaan mereka sebagai pemangkin utama ke arah kemajuan kendiri dalam pelbagai bidang.

Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, setiap anggota masyarakat KDMR memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam mempertahankan budaya unik mereka.

Ini selain memastikan perpaduan dan keharmonian dapat terus dipupuk dan diwariskan kepada generasi seterusnya, tambah beliau.

Dr Joachim, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, berkata demikian semasa merasmikan perayaan Kaamatan Peringkat KDCA Cawangan Labuan bagi tahun 2022 yang diadakan di Padang Majal, Pohon Batu, di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau memuji usaha-usaha untuk mengekalkan adat resam kaum KDMR di Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan yang masih giat dilaksanakan dan ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama suku di pulau ini.

“Dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Induk KDCA Labuan yang menjadi penggerak aktiviti KDMR dan juga sebagai penghubung kepada KDCA Hongkod Koisaan di negeri Sabah, saya yakin budaya dan kebiasaan (koubasanan) amalan turun-temurun suku KDMR tidak akan dilupakan oleh generasi baharu,” ujarnya.

Katanya, sambutan Pesta Kaamatan pada kali ini, yang bertemakan ‘Kaamatan Monunduan Do Winorun’, dalam bahasa Malaysia bermaksud, ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ menekankan supaya sekitar perlu dijaga dan dilindungi agar keindahan semulajadi dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Pesta Kaamatan merupakan tanda kesyukuran kita ke atas perolehan hasil tuaian penanaman padi dan mengharapkan agar rezeki yang akan datang lebih bertambah baik serta menunjukkan identiti kita sebagai KDMR yang ditunjukkan melalui bahasa, budaya (cara hidup) termasuk muzik, adat resam dan tradisi, makanan serta pakaian tradisional.

“Sambutan perayaan ini juga merupakan satu platform untuk memupuk perpaduan sesama kita tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan,” jelasnya.

Merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Induk KDCA Labuan kerana mengundangnya dan berterima kasih kepada para pucuk pimpinan (pemimpin rakyat) di sini atas segala sokongan dan bantuan dalam usaha mempromosikan kebudayaan KDMR, beliau berharap semoga perayaan ini menjadi suntikan motivasi kepada mereka untuk terus maju dan berdaya saing terutama dalam dang ekonomi dan sosial.

Turut hadir Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Hj. Isli; Ahli Lembaga Pengarah Asian Supply Base (ASB) Sdn Bhd, Datuk Peter Mak; Ketua Pegawai Eksekutif Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) Japar Esteban, Pengerusi KDCA Cawangan Labuan, Peter Pikul dan Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan, Walter Philip Michael

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top