Warga emas maut, isteri parah akibat ditendang, dipijak gajah

dipijak-gajah.jpg

Mangsa berada di pondok menjaga tanaman apabila sekumpulan gajah menceroboh kebun mereka.

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Seorang warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas mereka diserang gajah di Kampung Perpaduan, Skim Begahak, di sini malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam pada 24 Dis, Lopis Jubin berusia 90 tahun maut di tempat kejadian manakala isterinya Dalama Hamid, 61, cedera parah.

Utusan Malaysia memetik Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin sebagai berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan isterinya diserang oleh seekor daripada 12 ekor gajah yang memasuki kebun mereka.

Menurut beliau, daripada cerita cucu mangsa, semasa kejadian suami itu berada di pondok untuk menjaga kebun ubi mereka.

“Semasa sedang berehat, isteri mangsa menyedari pondok itu digeser oleh gajah. Suami isteri tersebut keluar dari pondok untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, seekor gajah mengejar kedua-dua mangsa lalu menendang dan memijak mereka,” kata beliau dalam kenyataan.

Kata Silvester, akibat serangan itu, lelaki warga emas tersebut mengalami kecederaan pada bahagian dada dan lebam di bahagian mata kanan dan luka di bahagian tangan sebelah kiri.

Isteri mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian pinggang, paha kiri dan lebam di kedua-dua belah tangan.

Menurut Silvester, pada masa ini, isteri mangsa sedang dirawat di Hospital Lahad Datu manakala, mayat suaminya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut katanya, anggota JHL telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan-kesan kehadiran gajah di kawasan kebun ubi milik mangsa.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah, pokok-pokok ubi patah dan ada kesan geseran di pondok yang didiami mangsa.

Namun, sepanjang pemeriksaan dilakukan, tidak ada kelibat gajah di kawasan berhampiran. Malah, tiada sebarang provokasi antara mangsa dan gajah semasa kejadian berlaku.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top