SIPITANG: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu, di sini, semalam.
Mangsa, Asmad Bulat, 81, dikatakan keluar seorang diri dari rumahnya pada 6.30 pagi untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 9.03 pagi tadi.
Katanya, pemanggil yang juga anak kepada mangsa mendakwa bapanya pergi ke kebun sejak pagi semalam, namun gagal pulang ke rumah.
“Usaha mencari yang dilakukan oleh penduduk kampung gagal menemui mangsa sebelum mereka memaklumkan kepada pihak bomba.
“Pasukan bomba terus ke lokasi untuk mendapatkan maklumat terperinci sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan. – HMetro