KOTA KINABALU: Seorang warga emas disahkan meninggal dunia selepas dibawa keluar dari sebuah kereta dalam keadaan enjinnya dihidupkan di sini, hari ini..
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa lelaki berusia 69 tahun itu keluar dari kereta selepas mendapat maklumat daripada orang ramai bahawa seorang lelaki tidak sedarkan diri ditemui dalam sebuah kereta di Jalan Bukit Temasu, Taman Sinar.
Ketua Balai Bomba Lintas Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.03 pagi, dan sepasukan anggota telah dihantar.
“Apabila anggota kami tiba, mereka terpaksa menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu yang berkunci,” katanya.
Pegawai perubatan di tempat kejadian mengisytiharkan lelaki itu mati selepas melakukan pemeriksaan.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Anggota bomba menamatkan operasi di lokasi pada 10.22 pagi.