TAMPARULI: Keberanian seorang warga emas berusia 101 tahun dari Kampung Lapai, Tenghilan tampil ke hadapan sebagai penerima vaksin Covid-19, menerima pujian.
Kagus Languan, 101 tahun (gambar), dari Kampung Lapai Tenghilan, merupakan antara penerima vaksin tertua dilaporkan menerima suntikan di Klinik Kesihatan Tenghilan, dekat sini, hari ini.
Ketika berada dalam pemantauan selepas menerima suntikan, beliau melahirkan rasa syukur dan menghargai peluang yang diberikan bagi membolehkannya menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, yang menerima berita tersebut, memuji semangat dan keberanian Kagus.
Gembira dengan perkembangan tersebut, Jahid turut mengongsikan gambar Kagus di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
“Saya difahamkan, beliau (Kagus) sangat tenang ketika menerima suntikan vaksin, dan berada dalam keadaan yang baik, pujian juga harus diberikan kepada semua petugas dan kakitangan yang ada,” katanya.
Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli juga telah membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Tenghilan beberapa hari lepas, bagi meninjau perkembangan pemberian suntikan vaksin di situ, sambil memberikan semangat dan motivasi kepada masyarakat yang hadir.
Katanya, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan vaksin tanpa mengira peringkat umur, dapat membantu untuk mencapai jangkauan imuniti berkelompok yang disasarkan kerajaan. – Warta Oriental