Warga asing di bawah pengaruh dadah cuba seludup minyak masak, beras dicekup Maritim Malaysia

cubaan-seludup.jpg

Suspek dan barang rampasan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki cuba menyeludup keluar beras dan minyak masak, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.27 petang, suspek berusia 44 tahun ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di 0.3 batu nautika di kawasan selatan rumah api Tanjung Labian, di sini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya bertindak menahan bot pam yang dinaiki lelaki terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah berdasarkan tingkah laku dan penemuan peralatan menghisap dadah.

“Turut dirampas 200 kilogram beras, 17 kilogram minyak masak, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua enjin pam.

“Semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM9,500 itu dibawa ke Pos Maritim Felda Sahabat, Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, semua beras dan minyak masak yang dirampas itu disyaki dibawa keluar untuk dijual ke negara jiran.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 iaitu cubaan menyeludup beras serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Suspek turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.

Sementara itu, beliau memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu supaya terus memberi kerjasama kepada pasukan Maritim Malaysia.

“Orang ramai diminta supaya melaporkan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah di laut,” katanya.

 

Sumber: Harapan Madani

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top