KOTA KINABALU : Wanita UMNO Sabah terus konsisten menyokong presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menjalankan tugas sebagai Presiden parti walaupun wujud beberapa desakan untuk beliau berundur ekoran reputasi merudum UMNO/BN pada PRN di enam buah negeri baru-baru ini.
Ketuanya Senator Datuk Noraini Idris berkata, mendesak presiden parti untuk meletakkan jawatan bukanlah jalan tuntas yang boleh menyelesaikan masalah tapi seharusnya semua pihak perlu mencari solusi bagaimana mahu menarik kembali sokongan pengundi Melayu kepada UMNO.
“Wanita UMNO Sabah akan terus menyokong kepemimpinan dan mengekalkannya, ahli UMNO perlu bersikap rasional dalam menangani isu ini tanpa menyalahkan sepenuhnya kepada presiden dan seharusnya kita fokus kepada usaha memulih dan memperkasakan UMNO” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita UMNO Sabah di sini pada Jumaat.
Menurut Noraini , tempoh lapan bulan bukanlah satu tempoh yang cukup bagi menerangkan kerjasama antara UMNO dan PH terutamanya melibatkan DAP di mana peluang ini diambil oleh Perikatan Nasional meniupkan sentiman perkauman, provokasi dan fitnah yang melampau yang meracuni pemikiran rakyat terutamanya pengundi Melayu untuk menolak UMNO/BN dalam PRN baru-baru ini
Menurut Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO bahagian Penampang setiap parti di negara ini melalui sejarah jatuh dan bangunnya sebagaimana yang dialami oleh PAS dan PKR tapi ahlinya tidak pernah meminta prsiden mereka meletak jawatan.
Ketika diajukan soalan mengenai pencapaian UMNO/BN dalam PRN di enam buah negeri di Semenanjung baru-baru ini turut memberikan kesan kepada kekuatan UMNO Sabah, Noraini menangkis dakwaan tersebut terutamanya yang dimainkan oleh parti lawan.
Katanya setuasi dan isu berbeza di Semananjung dan Sabah, ahli UMNO Sabah jangan terpengaruh dengan persepsi tersebut sebaliknya fokas untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk berhadapan dengan PRN akan datang.
Sehubungan itu, Noraini berkata sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus menggembleng tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga.
Noraini seterusnya menyeru semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa UMNO adalah parti yang benar-benar mampu mendukung denyut nadi rakyat.
“ Saya minta semua kepimpinan Wanita UMNO bahagian dan cawangan agar terus melaksanakan tugas, mengerakkan gerak kerja yang teratur mendekati rakyat dan ahli di peringkat akar umbi, dan gerak kerja itu perlu bermula dari sekarang bukanya disaat-saat akhir ketika menghadapi PRN,” katanya.