Wanita UMNO Sabah kekal adakan kempen rumah ke rumah

noraini-idris-UMNO.jpg

Noraini (Gambar fail/ BERNAMA)

Kongsi Bersama

SANDAKAN: Wanita UMNO Sabah akan terus mengekalkan kaedah kempen dari rumah ke rumah di kawasan pedalaman Sabah menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Langkah itu diambil bagi memastikan suara rakyat yang tinggal di kawasan tidak mempunyai liputan internet akan turut diambil kira.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, kempen secara dalam talian pula akan tertumpu di kawasan bandar.

Exco Wanita UMNO itu berkata, beliau berharap gerak kerja jentera Wanita UMNO perlu diubah mengikut peredaran zaman.

Menurut beliau, jentera UMNO tidak boleh bergantung dengan kaedah lama yang ternyata kurang menarik sokongan rakyat kepada parti itu, terutamanya dalam kalangan generasi muda

Beliau berkata, ketika ini sayap parti perlu mengambil langkah untuk menyampaikan maklumat mengenai perjuangan parti dan dasar kerajaan melalui aplikasi media sosial.

“Di peringkat Wanita UMNO Sabah kita akan kaji dan ubah suai gerak kerja dan pendekatan dalam menyediakan maklumat parti melalui laman Facebook, Tik tok dan sebagainya.

“Bayangkan, kita ada sejuta lebih ahli Wanita yang cekap menggunakan media sosial, saya fikir kita akan mempnyai jentera siber wanita yang kuat dan boleh berkempen melalui media sosial,” katanya semasa Program Jelajah Wanita UMNO Sabah di Pejabat UMNO Bahagian Kinabatangan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Noraini meminta ahli Wanita UMNO untuk memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan parti, selain terus membela rakyat .

Katanya, PRN akan diadakan dalam tempoh kurang daripada dua tahun maka, Wanita UMNO sebagai jentera barisan hadapan perlu bersiap siaga dari sekarang, tanpa perlu menunggu saat-saat akhir untuk melakukan gerak kerja.

“Fokus utama Wanita UMNO kini adalah kepada membantu rakyat dan memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif menang dalam PRN nanti,” katanya. –UTUSAN

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top