LUCKNOW: Seorang wanita berjaya memenangi pilihan raya tempatan di India, hampir dua minggu selepas kematiannya, selepas penyokong setianya berpegang pada janji untuk mengundinya sebagai tanda penghormatan.
Undi diperoleh Ashiya Bi (gambar, kiri) mencecah hampir 44 peratus dalam perebutan kerusi majlis perbandaran Uttar Pradesh bulan ini, dan diisytiharkan sebagai pemenang selepas kematiannya.
Calon popular berusia 25 tahun yang bertanding buat kali pertama itu dilaporkan jatuh sakit selepas mendapat jangkitan akut paru-paru dan abdomen, sebelum menghembuskan nafas terakhir 12 hari sebelum tarikh pilihan raya tempatan berkenaan.
Susulan kematian Bi, suaminya memaklumkan kepada pegawai pilihan raya, namun pegawai daerah Bhagwan Sharan memaklumkan bahawa tiada prosedur untuk memadam namanya daripada kertas undi.
“Selepas proses pilihan raya bermula, ia tidak boleh dihentikan atau ditangguh,” kata Sharan.
Sebelum meninggal dunia, Bi berjaya menarik sokongan pengundi, yang kebanyakannya memutuskan untuk tetap memberi undi kepadanya atas rasa kagum dan sebagai tanda penghormatan.
“Bi mudah menjalin persahabatan dan orang ramai tidak mahu memungkiri janji untuk menyokongnya,” kata penduduk tempatan, Mohammad Zakir kepada akhbar Times of India.
Suaminya, Muntazim Qureishi menyifatkan Bi berjaya memenangi hati orang ramai menerusi sikapnya yang tenang.
“Undi kami adalah sebagai tanda penghormatan kami kepadanya,” kata Arif, seperti dipetik akhbar berkenaan. – AFP