KOTA KINABALU: Wanita UMNO Sabah yakin perlantikan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 adalah tepat kerana beliau mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan diyakini mampu menangani Pandemik covid-19 dengan berkesan.
Ketuanya, Datuk Dr. Jainab Ahmad Ayid, dalam kenyataannya kepada media di sini,yakin dengan kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri baharu ini untuk membawa negara keluar dari masalah ekonomi dan pandemik covid-19.
“Saya juga menyokong kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Umno Sabah agar pandemik Covid-19 ditengani segera melalui pemberian vaksin di seluruh kawasan bandar dan luar bandar agar dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya.
Usaha pemulihan ekonomi juga perlu ditangani dengan betul dengan membuka lebih banyak sektor perniagaan setelah negara mencapai imuniti kelompok demi kesejahteraan rakyat.
Selain dari itu usaha-usaha untuk menstabilkan politik negara dengan mengambil kira pandangan supaya kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang membentuk kerjasama. perlu juga diberi perhatian agar usaha-usaha pemulihan sektor ekonomi, kesihatan dan pembangunan dapat dilakukan dengan lebih efektif.
“Kami di Wanita UMNO Negeri juga akan meneruskan usaha Wanita UMNO Malaysia membantu rakyat melalui Skuad Sayang dengan memberi keutamaan kepada kebajikan dan keselamatan rakyat serta mempromosikan keusahawanan untuk membantu ekonomi rakyat di sini,” kata beliau lagi.
Beliau juga menggesa rakyat Sabah mengambil peluang mendapatkan vaksinasi memandangkan Kerajaan Negeri Sabah telah membuka banyak pusat ‘walk-in’ PPV di seluruh negeri dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan serta mengamalkan norma baharu dalam aktiviti harian.