KOTA KINABALU: Tindakan seorang wanita pesakit COVID-19 yang dipercayai mahu melarikan diri gagal apabila dia terperangkap di Tingkat 1, Hospital Keningau, pada Ahad.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan berjaya dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat Keningau sebaik sahaja menerima laporan pada pukul 6.19 pagi.
Difahamkan wanita itu telah dimasukan ke wad Hospital Keningau sejak semalam.
Menurut Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terperangkap di tingkat satu bahagian luar bangunan Hospital Keningau.
“Pasukan bomba yang lengkap memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa mangsa turun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, mangsa dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi terkawal pada jam 7.20 pagi sebelum ditamatkan 19 minit kemudian selepas tiada lagi insiden bahaya di lokasi kejadian. – Astro Awani