Wanita Hampir Dirogol Lelaki Kurang Siuman, Positif Dadah

tuaran-cuba-rogol.jpg

Rakaman CCTV yang tular di media sosial menunjukkan wanita terbabit bergelut dengan suspek yang kemudiannya melarikan diri. - Foto: Media sosial

Kongsi Bersama

TUARAN: Seorang wanita melalui detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai mahu merogolnya di kawasan tangga sebuah bangunan di Tuaran, pada Ahad.

Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain di kawasan itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman itu telah ditahan jam 3 pagi semalam dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

“Suspek baru sahaja sehari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

“Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.

“Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

“Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya.

Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

Katanya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top