PENAMPANG: Seorang wanita ditahan manakala tiga rakannya sempat melarikan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak daripada pemeriksaan polis di Jalan Kolopis, di sini awal pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu berlaku ketika anggota Balai Polis Penampang melakukan rondaan di kawasan berkenaan, dan melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, anggota polis mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan melarikan diri.
“Kenderaan dipandu suspek berjaya dikejar sejauh kira-kira 500 meter sebelum terbabas ke arah sungai.
“Berikutan itu, seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun ditahan dan manakala tiga lagi rakan lelaki suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media.
Sammy berkata, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis barang antaranya kabel telekom dan pemotong besi.
“Polis masih mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes di atas atau lain-lain kes berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya, mereka boleh menjalurkan maklumat di Balai Polis Penampang. – Utusan Borneo