Wanita Dipenjara Cuba Guna MyKad Orang Lain Naik Pesawat Tawau Ke KL

guna-ic-org.jpg

MALYN Julismu (kiri) dihukum penjara 30 hari dan denda RM2000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan milik individu lain. (Foto: HMetro)

Kongsi Bersama

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM2,000 kepada seorang wanita warga asing selepas didapati bersalah menggunakan kad pengenalan (MyKad) milik wanita tempatan untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

Majistret Leona Dominic Mojiliu menjatuhkan hukuman itu selepas Malyn Julismu, 27, dari Kampung Selamat, Semporna mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Balai Berlepas Lapangan Terbang Tawau, pada 27 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Malyn yang juga pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) didakwa tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki suatu kad pengenalan atas nama Norlina Binti Abbai, 28, yang bukan kepunyaan tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut Peraturan-Peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Naser Mohd Nadzeri, dalam hujahnya berkata, perbuatan tertuduh memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain adalah kesalahan serius.

Katanya, sekiranya berjaya melepasi sempadan dikhuatiri tertuduh akan terus menyamar dan menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya termasuk untuk bekerja di Semenanjung.

“Banyak implikasi negatif yang akan dihadapi sekiranya penyamar melakukan kesalahan jenayah termasuk akaun bank dibekukan malah terdapat kes pemilik kad pengenalan sebenar sudah didaftarkan kematian,” katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum dan pengecualian hukuman penjara selain faktor bapa yang sedang sakit.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top