Wanita, Belia Usia Tekad Perkasakan Gerakan Dakwah di Sabah

jamawi-1.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Dua sayap Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Badan Wanita dan Belia akan mengambil pendekatan yang lebih efektif dalam memperkasakan gerakan dakwah di negeri ini.

Ketua Wanita (USIA) yang baharu Datuk Hajah Siti Aminah Haji Aching yang dinobatkan sebagai Ketua Winta baharu bagi sesi 2022-2024 dalam mesyuarat Agung USIA ke-35 Ahad lepas berkata masyarakat pada hari ini lebih cakna isu ekonomi berbanding isu politik. Ditambah dengan ketidakstabilan ekonomi yang memberi kesan berantai kepada masyarakat, wanita-wanita di luar sana berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi.

“Justeru selain program dakwah menjadi keutamaan, kita juga akan memberikan tumpuan untuk memperkasakan ekonomi golongan wanita termasuklah ibu-ibu tunggal yang sememangnya terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 lebih dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sini kemarin selepas pengumuman keputusan pemilihan.

Sambil menghargai sokongan dari perwakilan yang memilih beliau Aminah berkata, Wanita USIA akan memberi fokus pada isu ekonomi dan memberdayakan kefahaman tentang keadaan ekonomi negara sebagai wasilah dakwah kepada masyarakat.

“Dengan membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan memberi penekanan terhadap amalan jujur dan amanah ia sebahagian daripada dakwah kita kepada masyarakat,” tambahnya.

Menurut Aminah ini boleh dilakukan dengan mengerakan lebih banyak program atau kursus kemahiran melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang boleh membantu meningkatkan kefahaman dan kemahiran wanita dalam pelbagai bidang keusahawan atau perniagaan.

Bagi Ketua Belia USIA Jamawi Jaafar yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut untuk penggal ketiga usaha-usaha dakwah untuk golongan belia akan diperkasakan melalui pendekatan-pendekatan baharu yang menepati aspirasi golongan berkenaan.

Katanya, pengalaman semasa dunia dilanda pendemik COVID-19 yang membataskan pergerakan dan menjadi kekangan untuk melaksanakan program dakwah secara bersemuka turut memberikan pengajaran kepada semua termasuk Belia USIA agar merangka alternatif lain bagi membolehkan pogram-program dakwah dapat diteruskan.

Menurut beliau generasi muda perlukan bimbingan untuk terus melayari kehidupan berpaksikan kepada kehendak agama. Kaedah biasa seperti bimbingan melalui komunikasi bersemuka, ceramahm kursus dan sebagainya akan diteruskan bagaimanapun gerakan dakwah akan diperkasakan melalui keadah lain seperti dakwah melalui alam maya.

Kataya dalam era kemajuan teknologi maklumat golongan muda lebih mudah didekati melalui dunia maya seperti laman-laman sosial.

”Anjakan paradigma usaha dakwah secara maya membolehkan dakwah itu sampai kepada semua golongan di mana sahaja mereka berada. Ini bersesuaian dengan hobi generasi muda yang lebih gemar kepada dunia maya ketika ini,” katanya.

Tambah Jamawi penyertaan golongan berilmu dalam kalangan ustaz, pegawai agama, guru, pensyarah dan mereka yang terbabit secara langsung dalam ilmu agama dialu-alukan untuk menjayakan pendekatan baharu ini

”Usaha itu biarpun nampak mudah, tetapi kesannya amat besar kerana internet sudah menjadi medium utama perkongsian maklumat masa kini. Boleh dikatakan semua golongan muda mendapat capaian internet sama ada menggunakan komputer, telefon pintar atau gajet lain Jika kemudahan ini tidak digunakan sepenuhnya, pengunjung internet akan lebih tertumpu kepada laman tidak berfaedah,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain Jamawi yang juga Pengerusi SUDC berkata pada era ini generasi muda Islam perlu mempersiapkan diri agar mempunyai kecekapan modal insan dalam pelbagai bidang. Ini bermaksud tidak sekadar mempunyai kemahiran dalam bidang agama tapi bidang lain terutamanya ekonomi.

”Ekoran penularan pandemik COVID-19 ramai anak muda kehilangan punca pendapatan, ramai lepasan unversiti masih belum mempunyai pekerjaan dan peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta agak terhad, justeru Belia USIA juga akan memberikan tumpuan untuk memperkasakan ekonomi mereka,” katanya.

Menurut Jamawi kaedah membantu golongan muda bukannya memberikan bantuan kewangan tapi memberikan mereka latihan dan bimbingan kemahiran dalam pelbagai bidang antaranya bidang pertanian.

”Belia USIA akan berusaha menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang boleh membantu dari segi latihan kemahiran, bantuan atau pinjaman kewangan kepada golongan belia.

“Apapun mereka perlu ada kemahiran dan asas untuk berniaga bermula dari skala kecil dan seterusnya yang paling penting ialah maklumbalas dan tindakan positif dari golongan ini jika mereka mahukan kejayaaan dalam memperkasakan ekonomi mereka,” tegas beliau.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top