TAWAU: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pecah masuk sebuah rumah di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, 13 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 57 tahun yang mendakwa rumahnya telah dipecah masuk.
Katanya, mangsa menyedari pagar depan rumahnya terbuka dan kuncinya pula telah dirosakkan dipercayai dilakukan oleh pencuri.
“Pemeriksaan di kawasan rumahnya mendapati beberapa barang iaitu sebuah mesin penjana dan peralatan bengkel telah hilang.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak membuat serbuan di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini kelmarin.
Menurutnya, seorang suspek lelaki warga asing berusia 43 tahun yang disyaki suspek kejadian berjaya ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hidayat, kira-kira jam 10.30 pagi.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan satu adalah berkaitan dengan dadah.
“Susulan tangkapan itu, pasukan serbuan turut memberkas seorang wanita warga tempatan berusia 39 tahun dan dua lagi lelaki warga tempatan masing-masing berusia 16 dan 41 tahun di kampung berkenaan.
“Suspek wanita terbabit juga didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala dua lelaki itu tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.
Jasmin berkata, pihaknya juga berjaya menemukan semula mesin penjana dan barang-barang bengkel yang dilaporkan hilang milik mangsa.
“Semua suspek terbabit telah ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin menyeru masyarakat di daerah ini dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi sebarang perlakuan jenayah termasuk dadah.
“Masyarakat juga diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan menyebarkan berita-berita yang tidak sahih yang boleh menyebabkan kegusaran serta mengancam keselamatan orang lain,” katanya.