Wang Tinggal RM20, Keluarga Pendatang ‘Kais Pagi Makan Pagi’

wallet.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Laporan baru-baru ini mengenai seorang lelaki tanpa dokumen yang didakwa mencuri di sebuah restoran makanan segera di sini menyebabkan Wati Sapilin berasa bimbang.

Sentimen terhadap pendatang tanpa dokumen sudah kuat di Sabah, tetapi berita ini menambah kerisauan komuniti berkenaan.

Lelaki itu didakwa awal bulan ini kerana mencuri periuk nasi bernilai RM235 dari sebuah kedai makanan segera pada Julai. Tiada alasan yang diberikan kerana tiada pengakuan dibuat tertuduh.

Namun Wati, yang mendakwa beliau memegang kad pengenalan merah (berstatus penduduk tetap), mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan tempoh sukar yang dilalui akibat wabak.

“Dia mungkin memerlukan wang kerana keluarganya menderita ketiadaan makanan,” katanya kepada FMT.

“Saya dan keluarga juga sedang melalui tempoh yang sukar tetapi kami berusaha untuk bertahan dengan apa yang ada.”

Wanita berusia 40 tahun itu tinggal bersama suaminya, yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, dan tujuh anak mereka di sebuah rumah usang di koloni setinggan pesisir di Likas dekat sini.

Pasangan berkenaan kehilangan pekerjaan akibat Covid-19, memutuskan satu-satunya sumber pendapatan yang mereka ada untuk menanggung anak-anak.

Wati bekerja sebagai tukang cuci, manakala suaminya adalah seorang nelayan yang bekerja dengan pukat tunda besar di bandar, selain membuat kerja-kerja rencam.

“Sekarang dia hanya dapat tangkap ikan di tepi pantai berhampiran rumah kami. Tidak banyak yang dapat ditangkapnya, tetapi kami syukuri apa sahaja yang dapat menampung (kehidupan) kami,” katanya.

“Kehidupan kami bukan mudah sebelum ini, tetapi sekurang-kurangnya kami ada lebihan RM200 sebulan untuk disimpan ketika kami masih bekerja. Namun kini, simpanan kami hanya tinggal RM20 … memang sukar.”

Walaupun memegang kad pengenalan merah, Wati berkata, keluarganya tidak layak mendapat bantuan kerajaan, termasuk bakul makanan.

“Suami saya mempunyai beberapa bentuk dokumen tetapi ia tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau sebelum ini memiliki sijil pendaftaran kelahiran lewat tetapi ia musnah dalam kebakaran, katanya, dan belum sempat memohon yang baharu.

Ketujuh-tujuh anaknya, berusia antara enam dan 23 tahun, mempunyai sijil pendaftaran kelahiran lewat atau pas IMM13 yang dikeluarkan kepada pelarian yang melarikan diri dari selatan Filipina akibat kekacauan politik pada 1970-an.

Katanya, keluarganya bagaimanapun berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan makanan kepada komuniti terpinggir seperti komunitinya, namun mereka sedar hanya itu yang dapat mereka bantu.

Beliau juga bersyukur anak perempuan sulungnya, yang sudah berkahwin, kadang-kadang membantu dengan makanan dan wang.

 

Bagaimanapun, ada waktunya, beliau terpaksa menahan malu dan meminta barangan makanan daripada jiran-jiran.

“Nasib baik jiran-jiran kami baik-baik belaka. Saya ‘pinjam’ barangan seperti beras dan keperluan lain, dan mereka beritahu kami boleh ‘pulangkan’ bila sudah mampu,” katanya.

“Namun saya tahu tak boleh begini terlalu lama kerana orang lain juga menghadapi kesulitan.” – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top