Wan Junaidi Terima Tawaran Jadi Speaker Dewan Negara

Wan-Junaidi.jpg

Dr Wan Junaidi (gambar fail)

Kongsi Bersama

KUCHING: Demi perkhidmatan untuk negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar keluar dari persaraan dan menerima tawaran untuk mengisi kekosongan jawatan Speaker Dewan Negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, beliau menerima panggilan daripada seorang pemimpin negara pada 13 Jun lalu yang bertanyakan sama ada beliau bersedia untuk kembali berkhidmat kepada negara.

Wan Junaidi, 78, berkata, sebagai rakyat yang cintakan negara, sukar baginya untuk menolak tawaran itu kerana ia satu amanah dan tanggungjawab kepada negara.

“Selepas menolak untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), memang saya bertekad untuk bersara sepenuhnya.

“Saya ikhlas untuk berundur dari politik tanpa desakan mana-mana pihak kerana saya mahu menikmati tempoh persaraan, tetapi apabila menerima panggilan daripada pimpinan kerajaan yang mahukan saya mengisi jawatan itu, saya berfikir seketika dan akhirnya bersetuju untuk berkhidmat semula, demi negara, bukannya sebab kepentingan peribadi,” katanya yang enggan mendedahkan siapa pemimpin itu.

Wan Junaidi berkata, berbekalkan pengalaman yang cukup luas dalam kerjaya awal sebagai pegawai kanan polis, peguam seterusnya sebagai wakil rakyat, menteri dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, beliau bersedia memikul tanggungjawab itu.

“Selepas menerima tawaran itu, saya berhubung dengan pimpinan parti (Gabungan Parti Sarawak) di Kuching memaklumkan perkara itu dan mereka mengalu-alukannya.

“Esok hari pertama persidangan Dewan Negara dan kini saya berada di Kuala Lumpur… tengoklah esok macam mana,” katanya dengan nada ceria ketika dihubungi, hari ini.

Wan Junaidi menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Santubong sehingga bersara tahun lalu.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik pula sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga24 November 2022.

Sebelum itu, beliau menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.

“Pengalaman sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, memberikan keyakinan kepada saya untuk menjadi Speaker Dewan Negara,” katanya. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top