KUALA LUMPUR: Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Ahmad Kamal menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman berkenaan dengan penafian peranan ‘Datuk Botak’ yang mengugut, menjanjikan projek dan habuan wang tunai kepada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya kata Wan Fayhsal, ahli-ahli Parlimen Bersatu khususnya turut dipujuk untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana habuannya adalah peruntukan Parlimen.
Malah ujar beliau, Ahli Parlimen Labuan juga telah mendakwa ditawarkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan kerana memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Bukti-bukti seperti gambar, video, mesej dan email yang dihantar oleh ‘Datuk Botak’ ada dalam simpanan kami dan telah disertakan dalam laporan polis dan akan disertakan dalam laporan SPRM,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Machang itu juga merujuk kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Datuk Farhash Wafa Salvador pada 14 November 2023 (Selasa) yang menyatakan bahawa beliau telah memfitnahnya.
“Beliau telah mengugut untuk membuat laporan polis terhadap saya dan menyaman saya.
“Datuk Farhash seharusnya tidak melatah dengan tidak memeriksa fakta. Saya tidak pernah memfitnahnya. Saya hanya sekadar membacakan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli Armada Bersatu Malaysia pada 14 November 2023. Biarlah pihak polis mengambil tindakan kerana laporan polis tersebut telah menyatakan semua fakta yang perlu bagi siasatan polis dijalankan.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan laporan polis dibuat oleh beliau supaya perkara ini dapat disiasat sepenuhnya,” katanya.
Wan Fayhsal turut mengingatkan, “jangan pula ‘pisang berbuah dua kali’.
“Pernah dahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis walaupun dinasihatkan oleh Tun Dr. Mahathir supaya jangan berbuat demikian. Akhirnya, Anwar didapati bersalah menyalahgunakan kuasa seperti dilaporkan dalam kes PP v DSAI (No.3) [1999] 2 CLJ 215.
“Berkenaan dengan tindakan beliau mahu menyaman saya. Saya bersedia menghadapi tuntutannya. Namun, jangan pula beliau menggunakan aparatus kerajaan seperti SPRM atau PDRM untuk menyerang saya seperti yang banyak berlaku baru-baru ini,” tegas beliau.
Kelmarin, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau terbabit dalam gerakan menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tuduhan itu berniat jahat dan tidak mempunyai bukti kukuh mengenai pembabitannya.
Justeru, katanya, tuduhan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang juga Ketua Armada Bersatu, terhadapnya adalah jelas menjadikannya sebagai alat politik bagi menyebarkan khabar angin bagi kepentingan diri-sendiri.
“Saya sudah lama tidak terbabit dengan kancah politik dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.
“Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa konon terdapat dua individu yang membuat gerakan terancang untuk menarik beberapa Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong kepemimpinan Anwar.
Pemimpin Bersatu itu menamakan Farhash dan seorang individu lain yang digelar ‘datuk botak’ sebagai bertanggungjawab menarik Ahli Parlimen pembangkang menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak faham mengapa Wan Ahmad Fayhsal melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau.
“Disebabkan oleh kenyataan dan tuduhan fitnah yang dilontarkan terhadap saya, saya akan membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis terhadapnya. – SUARA TV