Wajib Pakai Pelitup Muka Di Kawasan Sesak, Jika Bersendirian Tidak Perlu Pakai

ismail-sabri.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengakui masih terdapat kekeliruan berhubung penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pemakaian pelitup muka, Ismail Sabri berkata apabila seseorang itu bersendirian dan mengamalkan penjarakan fizikal, adalah tidak wajib untuk individu berkenaan memakai pelitup muka.

“Tempat awam banyak, taman awam adalah tempat awam, tapi bila bersendirian maka tidak perlulah memakai pelitup muka kerana seperti saya katakan di tempat awam yang bersesak. Kalau di pasar bersesak, kalau dalam bas atau LRT bersesak, maka perlulah dan wajib pakai pelitup muka.

“Tetapi kalau bersendirian atau ada penjarakan fizikal antara satu sama lain, sebagai contoh di restoran kita (sudah tentu) tidak boleh pakai pelitup muka semasa makan. Tapi kerana ada penjarakan antara satu sama lain maka dibenarkan untuk tidak pakai pelitup muka,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, semalam.

Beliau menyatakan perkara itu berikutan isu tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang individu yang berada di tempat awam berseorangan dan tidak memakai pelitup muka dikenakan tindakan.

Mulai 1 Ogos, kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sesak dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top