SANDAKAN: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dipilih sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan sekutunya.
Difahamkan, pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang) itu diputuskan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah, minggu lalu.
“Pelantikan itu diberikan pada minggu lalu oleh Presiden parti. Dengan itu, saya berterima kasih kepada semua pihak atas pemilihan dan kepercayaan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) yang juga pembangkang memilih Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah PRN Sabah bagi parti itu.
PRN Sabah diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu dan menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan.