SANDAKAN: Rakyat Sabah harus berdiri bersama-sama mengecam tindakan Filipina yang cuba membuat tuntutan tidak berasas terhadap negeri ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata Filipina perlu menghentikan sebarang tuntutan tidak berasas terhadap Sabah dengan segera kerana ia adalah provokasi keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, beliau menyokong sepenuhnya tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien memanggil Duta Besar Filipina ke Malaysia untuk memprotes provokasi berkenaan.
“Tuntutan mereka terhadap Sabah telah beralih daripada retorik politik semata-mata dan kini meluluskan rang undang-undang yang baru itu.
“Ini sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan konvensional diplomatik,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.
Vivian mengulas laporan mengenai Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang baharu meluluskan rang undang-undang baru berkaitan percetakan peta Filipina dengan membenarkan kerajaan mereka untuk memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) ke dalam peta pasport negara itu.
Tegas Vivian lagi, Filipina juga harus meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membuat tuntutan yang keterlaluan.
Katanya, Persekutuan Malaysia ditubuhkan berikutan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 dan status Sabah sebagai anggota pengasas Persekutuan Malaysia juga dinyatakan dengan jelas dalam senarai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tindakan provokatif dari Filipina tidak hanya menegangkan hubungan baik antara anggota ASEAN, tetapi juga merupakan serangan secara langsung terhadap PBB.
“Sabah akan tetap menjadi sebahagian daripada Malaysia. Kedaulatan negara kita tidak boleh dirunding dan mesti dipertahankan setiap masa,” katanya.- BorneoToday