KENINGAU: Keadaan infrastruktur yang lemah di Sabah, terutama di kawasan luar bandar kembali menjadi viral di media sosial.
Kali ini, klip video sekumpulan pelajar di Keningau mempertaruhkan nyawa mereka menyeberangi sungai menggunakan saluran paip air, telah menjadi viral.
Klip berdurasi 92 saat itu disiarkan di akaun Facebook milik Siti Hafizah Leezah, yang mengeluh kerana penduduk Kampung Mansiang Baru, Keningau, tidak mempunyai alternatif lain selain menggunakan saluran paip air pada musim hujan.
Beliau mendakwa penduduk telah memohon jambatan gantung dan seorang wakil rakyat telah turun padang pada April tahun ini dan berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah itu.
Bagaimanapun, dia mendakwa sehingga kini masih belum ada tindakan sehingga memaksanya memuat naik video itu di laman sosial miliknya.
Ketika dihubungi, ADUN Tulid Flovia Ng berkata beliau menyedari masalah itu dan mengesahkan tiada jambatan di kawasan tersebut.
Beliau berkata beliau sedang meneliti perkara itu secara serius demi kesejahteraan rakyat di kawasannya.
Sementara itu, ketua pembangunan masyarakat Tulid Casmir Silip berkata permohonan untuk jambatan gantung itu telah pun diluluskan.
“Sudah ada kelulusan untuk membina jambatan gantung di Kampung Mansiang. Perkara itu kini diuruskan pejabat daerah kecil Sook yang sedang mengadakan tender untuk mendapatkan kontraktor yang berkelayakan bagi projek itu.
“Projek dengan anggaran kos pembinaan RM100,000 itu akan dilaksanakan selepas mengenal pasti kontraktor yang berkelayakan,” katanya kepada New Straits Times menerusi telefon.
Media sebelum ini telah mengetengahkan beberapa insiden melibatkan pelajar yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk ke sekolah kerana infrastruktur yang lemah.
Di Nabawan, murid menggunakan rakit buluh dan zipline untuk ke sekolah. Di Sandakan, pelajar menggunakan jambatan gantung yang usang untuk ke kelas.
Di kampung pedalaman Pitas, murid-murid mempertaruhkan nyawa mereka dengan menaiki bot yang sesak untuk ke sekolah. – New Straits Times