KOTA KINABALU: Polis menolak dakwaan bahawa telah berlaku runtuhan tembok konkrit berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, seperti yang dipaparkan dalam sebuah video yang sedang tular.
BHarian dalam laporannya memetic Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, sebagai berkata bahawa video berdurasi satu minit 18 saat tersebut telah tersebar di media sosial sejak petang semalam, tetapi kejadian yang dirakam dalam video itu bukan berlaku di sini.
Menurut Kasim, kejadian tersebut dipercayai berlaku di luar negara dan telah ditularkan oleh pihak tertentu dengan dakwaan kononnya ia berlaku di belakang pusat beli-belah di sini.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai kejadian runtuhan tanah yang dilaporkan.
“Kita terkesan dengan video tular itu dan hasil pemeriksaan tiada sebarang laporan ataupun kejadian runtuhan tembok konkrit seperti yang tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau juga meminta orang ramai agar tidak membuat andaian atau menyebarkan maklumat palsu.
Kasim menegaskan bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
Sebelumnya, video berdurasi satu minit 18 saat itu menunjukkan runtuhan tembok konkrit yang menghempap beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.