Veteran bidang penyiaran, graduan PhD tertua konvokesyen UMS ke-25

dr-saat.jpg

Dr. Saat menerima ijazah PhD daripada Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Biarpun sudah berada dalam alam persaraan setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam bidang penyiaran dan akademik, semangat Dr. Haji Saat Haji Awang Damit, seorang veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) masih kental untuk mencapai tahap tertinggi dalam pengajian.

Atas usaha gigihnya, beliau berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 baru-baru ini.

Penganugerahan ijazah pada usia 64 tahun menjadikan Dr. Saat sebagai graduan PhD tertua dalam sidang konvokesyen UMS pada tahun ini.

Dr. Saat yang pernah memegang pelbagai jawatan sejak menyertai RTM pada tahun 1979 termasuk Timbalan Pengarah Penyiaran di Negeri Sembilan, beralih ke bidang akademik dengan menyertai UMS sebagai pensyarah pada tahun 2000, sebelum bersara sebagai pensyarah kanan pada tahun 2018 dan dilantik semula sebagai Felo sehingga bulan Oktober 2020.

Beliau ketika berkongsi perasaannya setelah memperoleh ijazah PhD itu berkata, usahanya untuk mencapai kejayaan berkenaan tidak mudah dan banyak menempuhi cabaran dan laluan berliku.

“Dalam tempoh pengajian ini saya telah mempunyai seramai tujuh orang penyelia dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang datang ke UMS, dan setiap kali pertukaran penyelia, tajuk tesis saya akan bertukar.

“Sejujurnya, saya hampir berputus asa kerana terpaksa bermula dari awal dengan tajuk yang baharu sebanyak enam kali, mujur penyelia terakhir saya, iaitu Prof, Dr. Fong Soon Fook terus memberi semangat untuk saya meneruskan pengajian.

“Di bawah bimbingan beliau, saya berjaya mereka bentuk satu penerbitan program TV dan mencipta reka bentuk yang baharu untuk penulisan tesis PhD saya,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Dr Saat memberitahu sewaktu tempoh pengajian juga beliau pernah melalui proses pembedahan apendisitis yang memberi kesan terhadap pengajian kerana telah memperlahankan penulisan tesisnya selama tiga bulan pada waktu itu.

“Selain itu, saya turut kehilangan isteri tercinta pada ketika telah pun melengkapkan tesis dan dalam proses untuk menghantar penulisan.

“Saya tidak dapat fokus untuk sesi ‘Viva’ saya walaupun tesis PhD saya telah siap selepas pemergian isteri saya selama lapan bulan,” katanya, selain turut berkongsi kelewatannya menghantar buku tesis pada tahun lalu menyebabkan beliau tidak sempat untuk tersenarai bagi majlis konvokesyen pada tahun lalu.

Namun, kepercayaan beliau terhadap pencarian ilmu yang berterusan dan kedinamikan pendidikan menyemarakkan keazamannya untuk mencapai pencapaian akademik yang penting ini.

“Bagi saya, saya suka mencari ilmu pengetahuan yang saya belum ada dan meningkatkan lagi pengetahuan yang sedia ada serta memperbaiki kelemahan-kelemahan dari segi konteks pengetahuan yang saya ada.

“Untuk hidup yang lebih inovatif, untuk hidup terus berkembang, dinamik, kita perlu melalui satu proses-proses ilmu yang lebih tinggi.

“Inilah pegangan yang saya pegang semasa saya menyiapkan PhD saya walaupun saya terlambat,” katanya.

Melihat ijazah PhD yang dimilikinya sebagai alat untuk menyumbang kepada masyarakat, Dr Saat masih menanamkan azam untuk terus menulis buku akademik yang memfokuskan kepada kaedah penerbitan video, serta mahu mencari peluang untuk terus menyumbang sebagai tenaga pengajar khususnya dalam bidang komunikasi agar beliau dapat terus berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar walaupun tanpa sebarang bayaran. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top