Veteran ATM Mahu Tubuh Parti, Tanding PRU15

Kongsi Bersama

Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggunakan platform parti politik sendiri dengan menyasarkan sebanyak kira-kira 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presiden Persatuan Veteran ATM Sharuddin Omar (gambar) berkata, pihaknya kini dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik dinamakan Parti Kemakmuran Negara bagi tujuan itu.

“Kami telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kira-kira dua bulan lalu dan diharap permohonan kami diluluskan sebelum PRU15,” kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut Sharuddin, pihaknya mengambil pendirian untuk bertanding pada PRU15 kerana kelewatan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan veteran terutamanya membabitkan gaji dan pencen serta isu lain yang membabitkan rakyat.

“Kami telah mengenal pasti 50 calon veteran untuk bertanding pada PRU15, dari ketiga-tiga cabang ATM, iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang bakal ditandingi.

Sekiranya permohonan untuk menubuhkan parti politik tidak diluluskan, Sharuddin berkata, mereka akan bertanding sebagai calon bebas.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang sehaluan dalam perjuangan untuk menjalinkan kerjasama.

Tambah beliau, penglibatan mereka dalam arena politik adalah bersifat peribadi dan sukarela serta tidak melibatkan persatuan dan kelab veteran yang ada bagi mematuhi Akta Veteran 2012. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *