Vaksinasi Di Pekan Kunak Hampiri Sasaran

vaksinasi.jpg
Kongsi Bersama

Sebanyak 5,670 penduduk Pekan Kunak diberikan suntikan vaksin Pfizer-BionNTech dalam program vaksinasi secara ‘walk-in’ yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kunak sejak 8 Jun lepas hingga kelmarin.

Pegawai Kesihatan Daerah Kunan, Dr Izaidi Salman Yazid, berkata jumlah suntikan vaksin yang diberikan menerusi program vaksinasi tanpa pendaftaran awal di Dewan Masyarakat Sri Kunak itu menghampiri sasaran 6,000 daripada 12,142 pendudukan kawasan berkenaan.

“Kita menerima sambutan positif daripada penduduk. Pada hari pertama program ini dilaksanakan, jumlah yang datang untuk mendapatkan vaksinasi hanya 200 individu.

“Bagaimanapun, setiap hari angka itu meningkat, contohnya semalam sebanyak 804 penduduk hadir untuk menerima suntikan berikutan program tersebut akan berakhir hari ini,” katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Katanya, hampir 80 peratus daripada penduduk yang hadir mendapatkan vaksinasi tidak mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Menurut Dr Izaidi Salman, pihaknya juga merancang untuk mengendalikan vaksinasi bagi penduduk di kawasan pedalaman yang berdepan isu pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Pada satu tahap nanti, kita akan masuk ke kampung yang jauh di pedalaman dan kita sudah pun mengenal pasti beberapa dewan untuk dijadikan PPV sementara misalnya di Mukim Madai, di Mukim Pangi dan kawasan Tawau ada, selain Semporna,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut berterima kasih dengan Pejabat Daerah Kunak, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat melalui Agen Kesihatan Komuniti dan Jabatan Penerangan dalam membantu membuat hebahan memastikan penduduk hadir untuk untuk mendapat suntikan.

Sementara itu, seorang warga emas Maimunah Akih, 60, walaupun sukar bergerak akibat lumpuh, namun ia bukan penghalang untuknya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti disarankan kerajaan, apatah lagi berasa golongan warga emas berisiko dan mudah dijangkiti.

“Menantu perempuan memaklumkan boleh terus mendapatkan vaksin di sini tanpa perlu daftar MySejahtera, jadi makcik terus setuju kerana memikirkan sebelum ini ramai datang ke rumah untuk beri bantuan. Apabila sudah divaksin, ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti,” katanya.

Menurut Mohd Nazri Rashid, 32, pula inisiatif dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Kunak wajar dipuji kerana dapat mempercepat proses vaksinasi sekali gus menangani masalah pendaftaran di MySejahtera kerana tidak semua kawasan mempunyai liputan internet tinggi.

“Senang lagi begini (walk-in), suntik dulu baru pasukan kesihatan di sini bantu daftarkan kami. Kawasan rumah saya capaian internet agak lemah, kadang panggilan telefon pun tidak masuk. Inisiatif ini sangat bagus dan hari ini saya, ibu bapa serta isteri datang mendapatkan suntikan vaksin untuk dos pertama,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top