Vaksinasi: Desakan Sabah Terhadap Putrajaya Tanda Politik Matang – Penganalisis

Bung-maximus-ssk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Desakan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap Putrajaya berhubung isu bekalan vaksin adalah petanda wujudnya semangat politik matang dalam kalangan pemimpin negeri itu, kata penganalisis politik..

Dr. Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kritikan yang dilontarkan pemimpin GRS terhadap kerajaan pusat harus dilihat sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah dan bukan bertujuan menimbulkan masalah politik antara Sabah dan Putrajaya.

Bagaimanapun, katanya keadaan politik yang tidak menentu pada masa kini mungkin menjadi faktor kesepakatan serta keberanian pemimpin Sabah untuk mendesak pemimpin di peringkat persekutuan supaya masalah yang timbul dapat ditangani sebaik mungkin.

“Desakan berkenaan tidak semestinya mendatangkan kesan buruk terhadap hubungan KK (Kota Kinabalu) dan Putrajaya. Bagaimanapun, sejarah pernah membuktikan apabila pemimpin Sabah mengkritik pemimpin persekutuan, hubungan KK dan Putrajaya juga terkesan.

“Ini berlaku khususnya di era PBS (Parti Bersatu Sabah), Berjaya (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah) dan Usno (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu). Hubungan kurang memberangsangkan yang dimaksudkan apabila hanya sesetengah pemimpin mengkritik dan yang lain bersikap sebaliknya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, beberapa pemimpin GRS termasuk pengerusi kelab penyokong gabungan itu Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafry Ariffin mendesak Putrajaya supaya menyegerakan penghantaran bekalan vaksin.

Desakan itu dibuat susulan statistik vaksinasi yang menunjukkan Sabah jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Sementara itu, Dr Lee Kuok Tiung juga dari UMS berkata, desakan yang dibuat oleh pemimpin Sabah itu menunjukkan kesatuan di antara mereka dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Saya berpendapat adalah wajar kerajaan pusat memperuntukkan lebih banyak bekalan vaksin kepada Sabah dan sudah pasti saya melihat tekanan daripada pemimpin Sabah ini semakin tegang kerana mereka mahu pengagihan vaksin yang lebih adil. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top