KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Rose Nani Mudin mengakui berlaku kelewatan penghantaran bekalan vaksin ke negeri ini, namun ia hanya beberapa hari.
FMT melaporkan Rose Nani berkata, walaupun vaksin berkenaan tiba lewat beberapa hari, namun semua bekalan sampai seperti yang dirancang.
“Isu kelewatan penghantaran bukan hanya berlaku di Sabah tetapi di seluruh negara dan juga di negara lain kerana permintaannya semakin meningkat susulan peningkatan kes (Covid-19).
“Bagaimanapun, semua vaksin akan sampai seperti yang dirancang,” katanya.
Rose Nani berkata demikian selepas mengiringi Ketua Menteri Hajiji Noor melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini, lapor FMT.
Rose juga berkata, pihaknya sedang mengemas kini dan memperbaiki perkhidmatan di semua PPV bagi memastikan program vaksinasi negeri ini berjalan lancar.
Katanya, ia termasuk mengemas kini semula data penduduk yang telah mendaftar kerana didapati berlaku pertindihan pendaftaran.
Dalam pada itu beliau dilaporkan berkata, pemberian vaksin secara ‘walk-in’ masih dalam perancangan berikutan fokus pada masa ini adalah kepada mereka yang mendaftar.
Katanya, adalah tidak adil untuk melaksanakan pemberian vaksin secara ‘walk-in’ kerana masih ramai menunggu giliran menerusi pendaftaran di aplikasi MySejahtera.
“Kita sebenarnya ada melakukan program ‘outreach’ di luar bandar di mana penduduk kampung yang tidak mempunyai akses internet dipanggil untuk menerima vaksin.
“Bagaimanapun ada segelintir penduduk yang enggan menerima vaksin, sebab itu media juga harus main peranan agar menggalakkan orang ramai menerima vaksin,” katanya.