Vaksin Covid-19: Keutamaan Adalah Barisan Hadapan, Bukan Pemimpin – Masidi

barisan-hadapan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lebih daripada 39,000 barisan hadapan berada dalam senarai keutamaan untuk menerima vaksin Covid-19 apabila ia boleh didapati di Sabah nanti.

Menteri kerajaan tempatan dan perumahan negeri, Datuk Seri  Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan menganggarkan terdapat 39,100 barisan hadapan di Sabah.

Katanya, untuk para pemimpin negeri, kerajaan akan menyerahkan kepada kementerian kesihatan untuk memutuskan sama ada mereka juga harus menjadi sebahagian daripada fasa pertama vaksinasi.

“Itu adalah keputuan kementerian, kami tidak mahu mengatakan bahawa pemimpin harus berada dalam senarai keutamaan,” katanya, semasa taklimat Covid-19 pada Rabu.

“Bagi saya apa yang menjadi keutamaan adalah barisan hadapan di hospital dan di lapangan, diikuti oleh warga emas.”

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengenal pasti bilangan pelajar yang layak menerima alat peranti bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam program pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketika ditanya mengenai dakwaan netizen bahawa pendakwah dan dermawan selebriti Ebit Lew telah mendermakan peranti kepada pelajar di Sabah, beliau berkata pemerintah amat mengalu-alukan semua bentuk bantuan untuk mengurangkan beban rakyat.

“Sekiranya benar, kami mengucapkan ‘terima kasih’ (kepada Ebit). Saya berharap, syarikat besar atau individu lain yang mampu, dapat menolong melaksanakan tanggungjawab sosial korporat mereka sendiri,” katanya.

Tambahnya, dana peribadi tidak seperti peruntukan kerajaan yang perlu berdepan pelbagai karenah.

“Ia bukan seperti umum hari ini dan esok terus dapat dana. Pun begitu, kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sambil mengalu-alukan bantuan dari pihak lain.

“Persoalannya bukan siapa yang pertama tetapi siapa yang dapat membantu,” kata Masidi.

Kelmarin, ketua menteri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan pendidikan, termasuk alat peranti, kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sedar akan masalah yang dihadapi para pelajar, terutama dengan pelaksanaan PdPR di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Masidi berkata, kerajaan negeri bersama dengan jabatan pendidikan Sabah sedang berusaha menentukan kuantiti dan jenis alat peranti yang diperlukan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top