Vaksin Covid-19 Dalam Bentuk Tampalan

Vaksin-tampal.jpg
Kongsi Bersama

LONDON: Sekumpulan saintis di Oxford giat membangunkan vaksin Covid-19 baharu dalam bentuk tampalan yang hanya perlu dilekatkan atas kulit.

Lapor Daily Mail, para pengeluar ubat-ubatan berharap teknik tampalan pada kulit itu akan memberi perlindungan lebih lama terhadap koronavirus sekaligus berpotensi menamatkan keperluan suntikan dos penggalak yang bermusim.

Sebuah syarikat berpangkalan di Oxfordshire, Emergex mahu vaksin Covid-19 dalam bentuk baharu yang dihasilkannya mencetuskan tindak balas sel T yang mampu menghalang virus daripada menular.

Ketika ini, teknik tampalan itu berada pada ujian klinikal tahap pertama yang menyaksikan ia diberikan kepada 26 sukarelawan di Lausanne, Switzerland.

Sekiranya berjaya, vaksin Covid-19 dalam bentuk tampalan bersaiz sebesar ibu jari itu boleh didapati dalam pasaran menjelang tahun 2025.

Dilaporkan, tampalan itu diperbuat daripada jarum mikro kecil yang menembusi kulit.

Beberapa vaksin Covid-19 semasa termasuk dikeluarkan oleh AstraZeneca dan Pfizer bertujuan mencetuskan tindak balas imun antibodi.

Namun, tindak balas antibodi boleh berkurangan dari semasa ke semasa.

Menurut saintis terkemuka, sel T menawarkan perlindungan yang lebih lama.

Vaksin keluaran Emergex bertujuan mencetuskan sel T pembunuh yang memusnahkan sel yang dijangkiti untuk menghentikan virus daripada merebak.

Ia mengandungi antigen yang hanya terdapat pada permukaan sel yang dijangkiti. – AGENSI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top