Utusan Borneo Diedar Bersama The Borneo Post Mulai 1 Jun 2021

utusan-borneo-post.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Selaras perkembangan semasa, akhbar Utusan Borneo edisi Sabah akan memberi penekanan dan fokus kepada  laporan secara online, sekali gus memperkukuhkan versi digital mulai 1 Jun ini.

Sehubungan dengan itu, mulai tarikh berkenaan Utusan Borneo akan diedarkan secara sisipan dalam akhbar The Borneo Post di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui, berkata langkah itu diambil syarikat seiring dengan cabaran global serta persaingan dengan media sosial di mana media cetak perlu mengikut rentak supaya kekal relevan.

Katanya, dalam era dunia tanpa sempadan sekarang, pembaca perlu disajikan dengan maklumat tepat dan pantas.

“Ini bermakna media cetak perlu melakukan transformasi ke digital tanpa melupakan komitmen serta tanggungjawab sosial bagi memberi informasi yang tepat lagi cepat kepada pembaca,” katanya.

Sehubungan itu, Utusan Borneo dengan motto `Citra Generasi Prihatin’ akan memperbaiki kandungan bagi memenuhi kehendak pasaran media baharu. Kolum tetap yang bersesuaian akan terus dikekalkan.

Lichong berkata bentuk pelaporan berita juga akan diperbaiki supaya menjadi padat dan ringkas, sesuai dapatan tinjauan umum yang dijalankan.

“Dengan jumlah petugas terhad, kami akan cuba menyajikan yang terbaik untuk pembaca,” katanya.

Utusan Borneo sebelum ini pernah menjadi sisipan The Borneo Post. Ia dipisahkan dan menjadi entiti sendiri mulai 2 Januari 2008.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top