Utamakan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di pedalaman Sabah – Bobbey Suan

bobbey-suan.jpg

Datuk Bobbey Suan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diharap dapat melaksanakan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di jajaran kawasan pedalaman Sabah tanpa menunggu siapnya Fasa 1 dan 2 projek itu, kata Senator Datuk Bobbey Suan.

Beliau berkata ia perlu diberi keutamaan kerana projek itu dapat menghubungkan secara berkesan kawasan pedalaman Sabah dengan kawasan pertumbuhan ekonomi antaranya Kota Kinabalu dan juga Nusantara yang bakal menjadi ibu kota Indonesia.

Katanya daerah di pedalaman itu antaranya Nabawan, Keningau, Tambunan dan Tenom dilihat mampu memperoleh manafaat terutamanya daripada segi limpahan ekonomi untuk penduduk setempat dengan pembinaan projek terbabit.

“Dicadangkan projek Lebuh Raya Pan Borneo (di pedalaman) dilaksanakan secara serentak tanpa menunggu Fasa 1 atau 2 siap kerana setakat ini tiada kepastian Fasa 3 akan dimulakan dan penduduk Sabah memerlukan kemudahan ini segera.

“Sehingga hari ini, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo masih sangat lambat dan menimbulkan kemarahan para pengguna jalan raya di Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Bobbey berkata prospek perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan juga perlu difahami sebaiknya kerana ia bakal menjadi ‘game changer’ terhadap perubahan geo-politik dan geo-ekonomi yang berlaku di wilayah ini kelak.

“Ia juga bakal memberi kesan bukan sahaja kepada Malaysia dan Sabah khususnya tetapi bakal menjadi perhatian kuasa ekonomi dunia seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang selama ini menjadi pemain utama di wilayah ini.

“Tidak dinafikan perpindahan ibu negara Indonesia itu akan menjadi medan dan magnet baharu kepada pembangunan ekonomi dan geopolitik di rantau ini, justeru projek Lebuh Raya Pan Borneo penting sebagai pemangkin untuk kita meraih limpahan daripada kesan ini,” katanya.

Justeru beliau menegaskan semua pihak harus serius bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan dan tidak membiarkan projek itu dibelenggu oleh pelbagai masalah seperti isu pengambilan tanah, masalah kontraktor dan sebagainya. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top