KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat, sama ada ADUN atau Ahli Parlimen sepatutnya mengutamakan kepentingan negara, negeri dan awam mengatasi parti masing-masing, kata bekas menteri persekutuan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau yang juga bekas ketua menteri Sabah dan kini ADUN Usukan menegaskan sekalipun parti yang memberikan ahli politik peluang untuk menjadi wakil rakyat, sebenarnya “pengundi yang mengundi kita menjadi Ahli Parlimen atau Adun.”
“Jadi kita semua patut menganalisis dan menilai isu ini, melihat gambaran lebih besar dan memahami perspektif secara meluas ketika membuat keputusan di Parlimen atau dalam sidang Dun,” katanya di Facebook.
Beliau memberikan pandangan demilian sebagai mempertahankan tindakan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Bersatu yang dikritik kerana menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam mempertahankan keputusan itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu berkata ia bertujuan meredakan beban penduduk kawasannya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat. Katanya, peruntukan akan disalurkan kepada Ahli Parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.
Perikatan Nasional, gabungan pembangkang, kini mempertimbangkan mengambil tindakan terhadap Iskandar.
Salleh menyifatkan Iskandar sebagai seseorang yang meletakkan kepentingan negara dan awam melangkaui komitmen parti.
Beliau juga perlu ada keupayaan untuk membezakan antara tindakan mempertahankan kepentingan negara awam berbanding melompat parti.
Katanya, rakyat, khususnya pengundi, mengharapkan wakil rakyat mereka supaya lebih memandang berat kepentingan negara dan awam.
“Ini yang kita sebagai ahli politik janjikan kepada rakyat dan pengundi ketika berkempen.”