Utamakan Keharmonian Seiring Gagasan ‘Fiqh Sabahi’ – Hajiji

hajiji-watikah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam Sabah (JaPHEIS) bagi menyelaras program dan dasar berkaitan agama Islam di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata antara lain, penubuhan JaPHEIS diharap dapat memperkasa pendidikan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta membangunkan ekonomi masyarakat Islam menerusi institusi zakat dan wakaf.

“Antara teras Halatuju Sabah Maju Jaya ialah memberi penekanan terhadap modal insan. Dalam konteks ini, saya harap jawatankuasa akan menumpukan kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran,” katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan surat pelantikan kepada ahli JaPHEIS, di Dewan Bankuasi, PPNS, di sini pada Rabu.

Pada masa sama, beliau berharap JaPHEIS tidak akan mengambil pendekatan ekstrem yang boleh meresahkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah.

“Kita perlu ingat Malaysia ialah negara plural yang sentiasa mengutamakan kesederhanaan dan keharmonian yang juga seiring dengan gagasan ‘Fiqh Sabahi’ yang diamalkan di Sabah,” katanya.

Penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Arifin Mohd Arif dan mempunyai 19 ahli itu diputuskan oleh kabinet negeri pada Disember tahun lepas.

Antara fungsinya ialah menjadi platform kerajaan bagi membincang, menimbang dan mengurus hal ehwal Islam yang dirujuk kepada kerajaan negeri oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam dan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Ia juga akan bertindak sebagai penasihat hal ehwal Islam kepada ketua menteri.

Antara ahli jawatankuasa itu ialah Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Hakim Syarie Sabah Alidin @ Ahmad Din Othman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah  Datuk  Saifulzaman Sangul, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sabah Norjeli Dais, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dan Panglima 5 Divisyen Infantri Malaysia Mejar Jen. Datuk Mohd Halim Khalid.

 

Foto: FB Hajiji Official

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top