KOTA KINABALU: Agensi kerajaan berkaitan industri getah di Sabah diminta mengutamakan kebajikan para penoreh demi kelangsungan masa depan.
Penasihat Kehormat Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Bersatu Sabah (USAHA) Tan Sri Simon Sipaun berkata, pihaknya mewakili sebahagian besar pekebun kecil getah di Sabah menaruh harapan tinggi agar semua pekebun kecil mendapat perhatian serta pembelaan.
“Perhatian daripada pimpinan tertinggi negara diperlukan kerana golongan pekebun kecil ini sangat terbeban akibat keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.
“Saya menggesa agar agensi-agensi yang terlibat dalam industri getah mencari jalan penyelesaian membantu pekebun-pekebun kecil yang malang ini, sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran getah di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurutnya, Ahli Jawatankuasa Tertinggi USAHA juga mencadangkan kepada kerajaan supaya dapat menentukan harga lantai getah ke RM3.50 untuk bahan mentah getah dengan Kandungan Getah Kering (KGK) 50 peratus.
“USAHA juga meminta jasa baik menteri berkaitan di negeri ini agar dapat memberi perhatian dan turut campur tangan dalam penentuan kos pemprosesan getah yang ditentukan oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) agar lebih telus dan jelas.
“USAHA menyifatkan kos yang ditetapkan oleh LIGS selama ini adalah sangat tinggi iaitu RM 1.65 sekilo, tetapi kos kilang getah swasta di Semenanjung didapati hanya 65 sen sehingga 75 sen sekilo. Kos pemprosesan kilang LIGS adalah tertinggi dalam Malaysia dan sudah melebihi 20 tahun,” katanya.
Katanya, USAHA berharap campur tangan menteri berkaitan direalisasikan supaya penetapan harga mentah getah oleh LIGS supaya dapat dikaji dengan lebih teliti dan rasional, agar tidak merugikan pekebun kecil getah secara berterusan.
Menurutnya, pekebun kecil getah perlu mendapat harga getah yang berpatutan dari agensi kerajaan sendiri
“Wujudkan jawatankuasa panel Penentuan harga getah untuk tujuan ini. Sebelum ini, USAHA sudah mengemukakan surat petisyen kepada menteri berkaitan di Sabah semasa berdialog di Keningau pada 19 September lepas, tapi sehingga ke hari ini, pihaknya sangat terkilan tidak menerima sebarang maklum balas.
“Demi kelangsungan pendapatan dan kehidupan melibatkan 90,000 pekebun kecil getah di Sabah, perhatian serius dan jasa baik kerajaan sangatlah diharapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau amat berterima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan serta menaikkan bantuan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah yang tidak dapat mengeluarkan serta menikmati hasil getah.
Katanya, pengumuman bantuan BMT untuk pekebun pekebun kecil getah sudah pasti ditunggu-tunggu, memandangkan pendapatan pekebun kecil getah terputus akibat tidak boleh turun menoreh pokok getah di musim tengkujuh.
“USAHA turut menyarankan supaya bantuan ini perlu dikawal selia dan disalurkan kepada mereka benar-benar layak, iaitu mereka yang tiada sumber pendapatan selain dari menoreh pokok getah.
“Kekurangan tenaga kerja dan keadaan penoreh yang sudah uzur dalam mengusahakan kebun getah mereka menyebabkan hampir 50 peratus daripada kawasan kebun getah tidak dapat mengeluarkan hasil.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana pekebun-pekebun kecil yang terlibat tidak akan mendapat torehan yang banyak atau baik dimusim luar tengkujuh,” katanya. – UTUSAN BORNEO