KOTA KINABALU: Usul pindaan yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) bagi memasukkan pendidikan dan penjagaan kesihatan Sabah dan Sarawak dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan, tidak dibenarkan.
Perkara itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dalam satu surat yang bertarikh 9 Dis.
Dalam surat berkenaan, Azhar memberitahu notis untuk meminda senarai bersama dengan memasukkan butiran yang diperuntukkan di bawah Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama merupakan isu berlainan daripada tujuan asal Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021.
“Cadangan pindaan ahli-ahli yang berhormat merupakan suatu perkara yang baharu dan merupakan isu dasar yang memerlukan libat urus serta perancangan yang teliti antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri.
“Kerana cadangan sedemikian sekiranya dipersetujui, bukan melibatkan Sabah dan Sarawak sahaja tetapi semua negeri di samping mempunyai implikasi yang besar dari segi pelaksanaan dan kewangan.
“Oleh yang demikian, saya tidak dapat membenarkan usul ahli-ahli yang berhormat ini dibawa ke Majlis Mesyuarat,” katanya dalam surat berkenaan.
Presiden UPKO yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengesahkan menerima surat itu.
Katanya, notis pindaan berkenaan dicadangkan dan telah dihantar kepada Azhar oleh beliau, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin pada 30 Nov lalu.
Beliau berkata, cadangan usul itu membabitkan penambahbaikan RUU yang akan menyentuh Perkara 1(2) dan 160(2).
“Kita hanya mencadangkan pindaan RUU itu untuk ditambah baik dengan meminda Senarai IIIA Jadual Kesembilan – tambahan kepada Senarai Bersama bagi Sabah dan Sarawak.
“Dengan langkah ini, Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa untuk membantu kerajaan persekutuan dalam hal penjagaan kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Madius berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.