Usul Jawatan KM Sabah Dihadkan Dua Penggal Dapat Sokongan Sebulat Suara

Bersatu-Tawau.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Usul agar jawatan Ketua Menteri Sabah dihadkan kepada tidak melebihi dua penggal berturut-turut mendapat sokongan sebulat suara bahagian-bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah yang bersidang semalam (Sabtu).

Usul mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Ketua Menteri kepada tidak melebihi dua penggal ini merupakan satu pembaharuan sistem politik di negeri ini bertujuan membolehkan Ketua Menteri dan seluruh anggota Kerajaan Negeri memberi fokus kepada agenda pembangunan negeri dan aspirasi rakyat, membentuk sebuah institusi pentadbiran yang mendukung pembaharuan, menerapkan amal tadbir urus yang baik dan telus serta meningkatkan keberkesanan proses semak dan imbang.

Ini selari dengan pengukuhan perpaduan dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia merupakan satu daripada enam usul yang dicadangkan dalam persidangan tahunan parti di Sabah.

Usul yang lain adalah untuk mendukung kepimpinan Presiden, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, dalam mengemudi parti BERSATU di peringkat Persekutuan dan Negeri Sabah; dan mendukung kepimpinan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Haji Noor) serta aspirasi dan objektif yang telah digariskan dalam konsep Sabah Maju Jaya yang merangkumi, Membina negeri dan masyarakat yang bersatu padu, aman, makmur dan sejahtera; Mengoptimumkan sumber dan hasil negeri; Merangsang pemulihan ekonomi; Meningkatkan ekonomi rakyat; dan Membangunkan modal insan.

Juga, usul menyokong penuh segala usaha dan inisiatif yang telah digerakkan oleh kepimpinan parti komponen GRS untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan komponen GRS yang terbina sejak MOU GRS dimeterai pada 9 Januari 2021.

Satu lagi usul ialah mengesyorkan agar Kerajaan Pusat menyempurnakan segera segala kepentingan dan hak negeri sepertimana yang termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63). Ia adalah selari dengan Aku Janji Perikatan Nasional (PN) semasa PRN16 yang lalu iaitu memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963;

Turut dikemukakan usul agar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memberi pertimbangan yang khusus kepada negeri Sabah terutama dalam aspek yang berhubungkait dengan prasarana pembangunan, pendidikan dan juga perumahan rakyat.

Bahagian-Bahagian BERSATU yang bersidang semalam ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau.

 

Kredit foto: FB  NIZAM Abu Bakar Titingan

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top